Artis Arab

Laman Web Artis Sudah Tidak Lagi Diteruskan. Harap Maklum

Shadia, Artis Lagenda Mesir

Shadia atau nama penuhnya Fatima Ahmad Kamal telah dilahirkan pada tahun 1931. Beliau sangat dikenali dengan nama Shadia yang sering digunakan dalam persembahan pentas. Shadia merupakan seorang pelakon dan penyanyi negara Mesir. Beliau kini sudah bersara. Beliau terkenal dengan wataknya di dalam drama komedi sekitar tahun 1950-an dan 1960-an.

Penampilan pertamanya ialah di dalam sebuah filem berjudul El-Aql Fi Agaza yang bermaksud Fikiran Dalam Percutian. Beliau telah bersara selepas menamatkan filem terakhirnya yang berjudul La Tas’alni Man Ana yang bermaksud Jangan Tanya Siapakah Saya

Kehidupan peribadi artis ternama ini telah diceriakan dengan keinginan kekasih beliau untuk melamarnya. Tetapi, di saat-saat akhir, kekasih beliau yang juga seorang artis dan selebriti terkenal Mesir yang bernama Farid al-Atrash ini membatalkannya.

Hal ini disebabkan beliau merasakan beliau sudah tua dan tidak mahu Shadia menjadi janda muda sekiranya beliau meninggal kelak. Farid al-Atrash sering memainkan senario lakonan dan menyanyi mengenai Shadia di dalam filem-filemnya yang berunsurkan percintaan.

Shaaban Abdel Rahim, Menentang Yahudi Melalui Muzik

Shaaban Abdel Rahim yang juga dikenali sebagai Sha’bola ialah seorang penyanyi pop Mesir (Sha’bi). Beliau sangat dikenali dengan lagu nyanyiannya yang sangat memberi kesan mendalam kerana mengandungi lirik berbaur politik dan deria fesyen beliau yang sangat unik.

Shaaban telah dilahirkan di Kaherah, Mesir dan telah bekerja selama beberapa tahun di dalam kemiskinan sebagai pekerja kedai mencuci pakaian sebelum lagunya menjadi popular.

Pada tahun 2000, lagu berunsurkan pendedahan Shaaban yang berjudul Ana Bakrah Israel (Saya Benci Israel) dan bahagian lagu yang menyebut “Tetapi Saya Sayang Amr Moussa” telah menyebabkan kontroversi dan ramai yang terkejut lagu ini telah terlepas daripada tapisan kerajaan Mesir.

Banyak lagu Shaaban telah dijual secara tidak langsung dengan harga yang murah dalam bentuk kaset. Latar belakang beliau yang miskin, menggunakan bahasa tidak formal dan lirik lagu yang sangat berterus-terang telah menjadikan beliau sangat popular dalam kalangan orang awam Mesir daripada kelas bawahan.

Semenjak itu, Shaaban telah menghasilkan banyak lagu popular yang berunsurkan politik yang kebiasaannya lagu itu merujuk kepada situasi dan keadaan semasa. Selepas serangan pengganas 11 September 2001, beliau telah menghasilkan sebuah lagu yang bertajuk “Hey Orang Ramai, Itu Hanya Sebuah Menara dan Saya Bersumpah Dengan Nama Tuhan yang Merekalah yang Sebenarnya Meruntuhkan Menara Itu” (Hey People, It Was Only a Tower and I Swear by God that They Are the Ones Who Pulled it Down).

Pada tahun 2003, beliau telah menghasilkan sebuah lagu yang berjudul “Jangan Serang Iraq” (Don’t Hit Iraq). Pada tahun 2005 pula, sebuah lagu yang berjudul “Kami Semua Sudah Hilang Kesabaran” (We’re All Out of Patience) dihasilkan, dan setahun selepasnya, sebuah lagi lagu yang menceritakan tentang konflik Israel dan Lebanon pada tahun 2006 telah dihasilkan.

Seorang penulis lagu yang bernama Islam Khalid yang telah bertanggungjawab mencipta sebuah lagu yang berunsurkan politik yang berjudul “Serang Iraq” (Hitting Iraq) dan lagu-lagu lain yang berunsurkan politik yang dinyanyikan oleh penyanyi lain memberitahu bahawa dia perlu mengajar Shaaban mengenai makna dan idea disebalik lagu-lagunya.

Sekitar lewat tahun 2001, Shaaban Abdel Rahim telah menyertai sebuah promosi iklan oleh syarikat makanan segera McDonald yang ingin memperkenalkan keluaran makanan baru mereka iaitu sandwich McFalafel. Di dalam promosi iklan ini beliau telah menyanyikan sebuah lagu yang mempunyai rentak yang sama dengan lagu yang berjudul Ana Bakrah Israel (Saya Benci Israel).

Tindakan beliau ini telah menimbulkan protes dan bantahan daripada kumpulan sokongan Yahudi. Promosi iklan ini akhirnya ditamatkan walaupun baru 3 minggu ke udara di media massa. Sesiapapun tidak pasti sama ada syarikat makanan segera McDonald telah mengalah kepada tekanan daripada kumpulan sokongan Yahudi seperti Jawatankuasa Yahudi Amerika (American Jewish Committee) atau promosi iklan itu sudahpun sampai penamatnya.

Farid al-Atrash, Artis Arab Yang Tidak Perlu Diperkenalkan Lagi (Bahagian Pertama)

Farid al-Atrash telah dilahirkan pada 19 Oktober 1915 dan meninggal dunia pada 26 Disember 1974. Nama beliau turut juga dieja sebagai Fareed. Beliau ialah seorang komposer lagu dari Syria, seorang penyanyi, seorang pemain “oud” yang sangat cekap dan seorang pelakon. Beliau merupakan salah seorang artis Arab terpenting dalam industri muzik Arab abad ke-20.

Farid telah dilahirkan di negara Syria dan merupakan anak keluarga diraja Syria yang pada masa itu berlawan dengan tentera penakluk Perancis. Pada pertengahan 1920-an, beliau telah berpindah bersama-sama keluarganya ke Mesir kerana melarikan diri daripada penjajahan Perancis. Selepas itu, beliau dan keluarga beliau telah menjadi warganegara Mesir melalui proses naturalisasi yang diberikan oleh kerajaan Mesir. Ibu Farid turut bermain dan menyanyikan lagu menggunakan alat muzik “oud” dan disebabkan hal ini, Farid al-Atrash telah mula meminati muzik dalam usia yang muda.

Sebagai seorang kanak-kanak dan remaja yang masih muda, Farid telah bernyanyi dalam majlis-majlis yang dikendalikan di sekolah. Beliau juga telah belajar dalam bidang pemeliharaan muzik dan telah menjadi seorang perintis (apprentice) untuk seorang komposer lagu terkenal bernama Riyad as-Sunbaty. Sekitar tahun 1930-an, Farid telah memulakan kerjaya nyanyiannya secara profesional dengan bekerja untuk sebuah stesen radio swasta Mesir.

Akhirnya beliau telah diambil bekerja sebagai pemain alat muzik oud untuk stesen radio kebangsaan dan selepas itu sebagai penyanyi. Kakak beliau iaitu Asmahan juga seorang penyanyi yang berbakat dan untuk beberapa ketika mereka bekerja bersama. Pada tahun 1941, mereka telah membintangi filem mereka yang dianggap sebagai sukses di mana semua lagu latar dalam filem ini telah dicipta oleh Farid sendiri.

Farid mempunyai kerjaya seni yang panjang dan berwarna-warni selama lebih empat dekad. Beliau telah menghasilkan muzik yang pelbagai dan merupakan komposer lagu, penyanyi dan pemain alat muzik yang sangat dihormati. Farid tetap berpegang kepada prinsip muzik Arab walaupun kebanyakan daripada muziknya dipengaruhi muzik barat. Walaupun kebanyakan lagu ciptaannya adalah terdiri daripada lagu-lagu berentak cinta romantik tetapi beliau juga turut mencipta beberapa buah lagu berentak patriotik dan berentak keagamaan.

Lagu-lagu beliau yang paling terkenal termasuklah “Rabeeh”, “Awal Hamsa”, “Hekayat Gharami”, “Albi Wa Moftaho”, “Gamil Gamal”, “Wayak”, “Ya Zahratan Fi Khayali”, “Bisat Ir Rih”, “Ya Gamil Ya Gamil”, “Ya Habaybi Ya Ghaybeen”, “Eish Anta”.

Salah satu sifat unik dan tersendiri yang ada pada Farid ialah suaranya. Pada permulaan kerjayanya sebagai seorang penyanyi, suaranya agak tinggi dan lembut tetapi selepas itu suaranya telah bertukar kepada lebih luas dan mendalam. Seseorang yang tidak biasa dengan hasil kerjanya akan sukar untuk percaya yang penyanyi di dalam lagu “Ya Reitni Tir” (1930-an) dan “Adnaytani Bil Hajr” (1960-an) dinyanyikan oleh orang yang sama. Nyanyian Farid adalah bersifat emosional dan berperasaan mendalam.

Dalam kebanyakan lagunya, dan hampir kesemua konsertnya, Farid akan menyanyi secara “Mawal” iaitu nyanyian berbentuk rentak dan suara yang lembut dengan menggunakan beberapa baris ayat puisi. Nyanyian secara Mawal ini kadang-kadang berpanjangan hampir 15 minit . Nyanyian Mawal ini sangat disukai peminatnya.

Farid telah membintangi 31 filem muzikal Mesir dari tahun 1941 hingga tahun 1974. Filem terakhir beliau yang berjudul Nagham Fi Hayati telah dikeluarkan selepas kematian beliau. Semua filem beliau kecuali dua filem yang terakhir adalah filem dalam bentuk hitam putih. Filem-filem ini terdiri daripada pelbagai jenis genre yang antaranya termasuklah komedi, drama atau gabungan kedua-duanya. Di dalam setiap filem yang dibintanginya, Farid telah menghasilkan semua lagu latarnya sendiri termasuklah yang dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi lain.

Dalam filem-filemnya yang terawal, beliau akan memasukkan sekurang-kurangnya 10 buah lagu tetapi secara keseluruhannya sesebuah filem itu mempunyai lima lagu latar sahaja. Antara filem Farid yang paling terkenal ialah Intisar al-Shabab, Yom Bila Ghad, Ahd el-Hawa, dan Lahn al-Kholoud

Farid al-Atrash, Artis Arab Yang Tidak Perlu Diperkenalkan Lagi (Bahagian Kedua)

Kejayaan Farid dalam masa yang singkat telah menyebabkan lelaki muda ini terpengaruh dengan tarikan kelab-kelab malam, hubungan percintaan dan perjudian. Tidak lama kemudian Farid telah dikelilingi hutang ditambah pula dengan keadaan ibunya yang tidak menyukai beliau. Di dalam keadaan beliau yang sukar ini, kakak beliau yang juga rakan nyanyian beliau iaitu Asmahan telah meninggal dunia.

Farid akhirnya telah menjalinkan hubungan cinta dengan penari perut (belly-dancer) yang bernama Samia Gamal. Samia Gamal telah memotivasikan beliau untuk menggunakan segala yang beliau ada untuk mencapai kejayaan. Pada tahun 1947, beliau telah menghasilkan sebuah filem dan berlakon bersama-sama dengan Samia di dalamnya. Filem itu akhirnya menjadi kejayaan besar kepada mereka.

Selepas bersama dalam lima buah filem, pasangan yang tidak berkahwin itu akhirnya berpisah. Farid meneruskan kerjanya dalam menghasilkan filem dengan bintang filem yang lain di dalam pelbagai filem yang sangat berjaya di mana beliau selalu memegang watak utama sebagai penyanyi yang bersifat romantik dan bersedih. Beliau sentiasa memilih nama “Wahid” kepada watak yang dilakonkannya yang bermaksud “keseorangan”.

Farid menolak untuk berkahwin dan mendakwa perkahwinan “membunuh seni”. Dalam filem-filemnya, para penonton mengingati watak wanita dan lagu indah beliau lebih daripada jalan cerita filem itu sendiri.

Sebelum terjadinya rampasan kuasa daripada tentera pada tahun 1952 terhadap Raja Farouk I, Farid telah berkawan dengan isteri baginda yang bernama Ratu Nariman. Persahabatan ini telah berlarutan sehinggalah berakhirnya rampasan kuasa yang telah menyebabkan Raja Farouk 1 disingkirkan daripada takhtanya dan bercerai dengan Ratu Nariman. Walau bagaimanapun, bekas keluarga Ratu Nariman tdak menerima Farid dan mereka akhirnya berpisah. Perpisahan mereka telah menyebabkan Farid berada dalam tekanan yang panjang. Tekanan yang berpanjangan ini telah menyebabkan masalah kesihatan beliau semakin memburuk sehinggalah kematian beliau pada tahun 1974.

Apabila beliau semakin tua, beliau mempertimbangkan semula keinginan beliau untuk berkahwin dan beliau telah melamar seorang penyanyi Mesir yang bernama Shadia. Tetapi di saat-saat akhir, beliau telah membatalkannya. Beliau takut dengan keadaan kesihatannya yang semakin memburuk, beliau mungkin akan menjadikan Shadia sebagai janda muda. Beliau sentiasa menyanyikan keadaan ini di dalam senario lakonan filem-filem romantiknya.

Farid di sepanjang 30 tahun terakhir dalam hidupnya telah menderita masalah jantung. Beberapa tahun terakhir dalam hidupnya, dia telah menjadi kurus secara fizikal dan suaranya menjadi semakin kasar semasa penyakitnya semakin memburuk. Walaupun beliau sedang mengalami masalah kesihatan, beliau tetap menyambung kerjanya dalam penghasilan filem dan membuat persembahan di konsert sehinggalah beliau meninggal dunia.

Pada 26 Disember 1974, Farid telah meninggal dunia di Hospital Al Hayek, Beirut. Farid telah dikebumikan di Kaherah, Mesir bersebelahan dengan kubur kakak dan abangnya.

Sepanjang hidupnya, beliau telah berlakon dalam lebih 31 buah filem dan merakam lebih kurang 350 buah lagu. Beliau juga turut mencipta lagu untuk penyanyi-penyanyi terkenal seperti Wadih El-Safi, Shadia, Warda, dan Sabah. Farid al-Atrash telah meninggalkan warisan dan legasi kepada dunia muzik Arab. Beliau telah digelar sebagai Raja Alat Muzik Oud

Filem-filem yang pernah dilakonkan beliau ialah Nagham Fi Hayati (1975), Zaman Ya Hob (1973), Hob al kabir, -Al (1969), Khouroug min el guana, El (1967), Hikayet el omr kulluh (1965), Ressalah min emraa maghoula (1963), Yomun bala ghaden (1962), Shatie el hub (1961), Min agl hubbi (1960), Maleesh Gheirak (1958), Inta habibi (1957), Wadda’tu hubbak (1957), Izhay ansak (1956), Oussit Hobi (1955), Ahdil Hawa (1955), Risalat Gharam (1954), Lahn hubi (1954), Ayza atgawwez (1952), Lahn al khouloud (1952), Ma takulshi la hada (1952), Taa la salim (1951), Akher kedba (1950), Afrita hanem (1949), Ahebbak inta (1949), Habib al omr (1947), Bolbol effendi (1946), Gamal wa Dalal (1946), Ma akdarshi (1946), Shahr el asal (1946), Ahlam el chabab (1943), Intisar al-chabab (1941).

Share/Save/Bookmark

        

         OTHER INTERESTING RELATED POSTS:

Leave A Comment

TYPE YOUR COMMENT IN THE BOX BELOW.....

LIST OF RECENT COMMENTS:

Copyright © 2008 by Afiq's Blog - My Blog | My Life | My Journey | My Motivation | My Inspiration [Best Viewed With Mozilla Firefox and Broadband Connection]